Aku terima Tommy tanpa mengetahui dia sudah kurus
dan berendam dalam air kencing sendiri....
3hb. September 2011 – Aku terima Tommy dalam keadaan
busuk dan kurus pagi itu, selepas sepanjang malam sukar tidur sebab
menunggu dua orang ‘manusia’ yang tidak menunaikan janji untuk
menghantar Tommy petang semalam. Sukar tidur memikirkan Tommy yang pasti
akan dibawa mengellilingi kota dan kampung (macam naik bas mini) ikut
kucing-kucing lain di dalam sangkar kecil semuat badannya sahaja. Puas
aku merayu untuk ambil sendiri kat hotel (pusat jagaan kucing) yang
telah
‘glamour’ sejak kebelakangan ini. Namun manusia
ini memberi alasan mereka telahpun keluar untuk menghantar kucing-kucing
kepada empunya di rumah masing-masing secara
FOC. Padahal
jarak hotel tersebut dengan rumahku lebih kurang 15 km sahaja! Biasanya
kalau sejauh itu, aku terpaksa transit di pertengahan jalan untuk
merehatkannya, buang sisa kencing Tommy (kalau-kalau terkencing).
Sehingga hari ini, badan Tommy masih berbau, setelah mandi dua tiga
kali. Bulu putih di kaki dan perutnya sudah bertukar warna kuning,
akibat terendam dalam air kencing sendiri. Kesian Tommy terpaksa
mengharungi kehidupan seksa akibat kerakusan dan kejahilan manusia yang
tidak pernah terfikir akan penderitaan haiwan lembut ini.
Slip pembayaran hotel tersebut.
26 Ramadan, seusai solat Jumaat, aku hantar Tommy ke hotel ‘glamour’ ini. Betapa girang dan gembiranya aku dapat menempah
single room
buat Tommy pada 16hb. Ogos 2011. Harga mahal aku tidak kisah sangat,
asalkan sepanjang aku bercuti selama 8 hari, Tommy gembira ditinggalkan.
Sehari sebelumnya aku sudah pun berlegar-legar mencari hotel ini di
Damansara Damai. Bukan apa, cuma hendak singkatkan masa perjalanan bila
bawa Tommy nanti. Tidaklah tercari-cari hingga Tommy terseksa dalam
sangkar kecil mudah bawa.
Di lobi, aku disambut dua orang ‘manusia’ ramah, sementara diuruskan
segala dokumen, termasuk turunkan tandatangan pada helaian surat akuan,
sempat anakku bermanja-manja dengan dua ekor kucing (kiranya penghuni
tetap kat sini). Seekor namanya Apong dan seekor lagi bernama Encem.
Seronok aku tengok anak aku bermain dengan kedua-dua kucing tersebut.
Berbaloi rasanya. Tepat pilihan aku untuk menempatkan Tommy di sini.
Semasa beraya di kampung, aku asyik ceritakan kisah Tommy yang tinggal
di hotel tersebut. Pakcik dan makcik aku terlopong mulut, kehairanan.
“Hmmm ada pulak hotel sebegitu di KL?” Sampuk pakcik aku sambil
menggelengkan kepala.
5hb. September, aku dihujani panggilan telefon
daripada saudara mara, bertanyakan kisah Tommy, mereka kata ada berita
tersiar di akhbar dan tv, 16 kucing mati – Haiwan ditinggal di pusat
jagaan sempena Aidilfitri tidak diberi makan. Aku amat terkejut dengan
berita ini.
Terpaksalah aku menjelaskan, betapa bernasib baiknya Tommy sepanjang
ditinggalkan di sana. Sekali sekala aku memandang tepat ke mata Tommy,
aku rasa hiba dan bersalah. Hanya Tommy sahaja yang tahu segala kejadian
semasa di sana. Tommy menjadi saksi bisu, menahan seksa pedih luka
lara.
Tommy, maafkan aku, moga Allah membalas perbuatan mereka pada engkau
dan rakan-rakanmu. Aku cuma berikhtiar yang terbaik dalam melayani saki
baki usia kita di muka bumi ini. Sekian.
Tommy sebelum aku cuti beraya sakan di kampung.